KERTAS KERJA BIOLOGY~KAEDAH BIG- MAP

KAEDAH ‘BIG-MAP’ SEBAGAI SATU SISTEM SOKONGAN BAGI MENINGKATKAN KEUPAYAAN MENGINGAT PELAJAR KEPADA KONSEP-KONSEP BIOLOGI





OLEH
Md. Din Bin Azam
Guru Cemerlang Biologi
Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum
77300 Merlimau, Melaka

KAEDAH ‘BIG-MAP’ SEBAGAI SATU SISTEM SOKONGAN BAGI MENINGKATKAN KEUPAYAAN MENGINGAT PELAJAR KEPADA KONSEP-KONSEP BIOLOGI.
Pencapaian pelajar dalam matapelajaran Biologi SPM sejak sekian lama samada diperingkat negeri atau nasional sentiasa berada pada tahap tertinggi. Pengalaman mengajar selama 23 tahun subjek biologi di lima buah sekolah menengah yang berbeza menunjukkan kelulusan melebihi 90% dapat dicapai dengan mudah kerana calon-calon yang mengambil subjek ini adalah daripada Aliran Sains tulen dan mempunyai latar belakang sains yang baik di peringkat Penilaian Menengah Rendah . Mempelajari pelbagai bidang kajian biologi bermakna pelajar berpeluang memahami dengan lebih mendalam proses kehidupannya dalam satu bidang pengetahuan yang begitu luas dan saling berkaitan. Merujuk kepada Sukatan Pelajaran Biologi KBSM, pelajar akan didedahkan kepada pelbagai aspek biologi bertujuan mengkaji molekul-molekul tidak hidup yang membentuk sel-sel badan serta segala kandungan sel yang tersusun rapi dan berfungsi secara teratur sehinggalah terbentuknya organisma. Ini dilanjutkan dengan mengkaji bagaimana sistem organ dalam pelbagai organisma dapat berfungsi demi menentukan semua sel yang membentuk kepelbagaian organisma tadi dapat memenuhi keperluan hidupnya. Huraian ringkas ini menggambarkan betapa sukarnya pelajar untuk menguasai biologi dan menterjemahkan konsep-konsep yang dipelajari di kertas peperiksaan. Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu pelajar bagi mengatasi masalah lambakan maklumat tetapi gagal memberi fokus kepada apa yang dikehendaki oleh soalan-soalan peperiksaan. Pelajar kerapkali terlupa dan sekali gus gagal mengaitkan fakta-fakta biologi yang telah dipelajari.
Merujuk kepada pengalaman mengajar yang lalu saya sebenarnya berdepan dengan masalah pengajaran dan pembelajaran dan ianya berulang setiap tahun. Ini menjadikan saya seorang pemikir! Letih mengajar tapi tak berbaloi! Mengapa pelajar saya tidak mencapai keputusan cemerlang ‘A’ dan mengapa hanya cukup makan. Bila berpeluang, saya menilai diri sendiri, memikir pelbagai perkara tentang sekolah, cara mengajar dan pencapaian pelajar. Nampak gayanya ilmu pendidikan yang dimiliki tidak cukup untuk menyelesaikan semua masalah di dalam bilik darjah. Inilah senarai agenda yang saya mesti perbaiki segera, jangan biarkan ianya berulang saban tahun...
i. Pelajar yang lulus cemerlang 1A dan 2A dalam Biologi hanya sekitar 5%.
ii. Pelajar bukan melayu tidak mendapat keputusan lebih baik kerana penguasaan bahasa Melayu yang lemah.
iii. Pelajar-pelajar Melayu pula gagal memberi tumpuan sewaktu proses pembelajaran dan cepat bosan.
iv. Konsep biologi yang meluas dan terlalu banyak istilah yang perlu diingat menyebabkan pelajar mengambil masa yang terlalu lama untuk mengulangkajinya.
Menyedari kelemahan yang timbul dan yakin ianya boleh diatasi, saya telah mencuba satu stail pengajaran yang mengabungkan cara berfikir manusia dengan prinsip pengoperasian komputer dan saya menamakannya sebagai kaedah ‘Big-Map’. Macam nama makanan di Mc Donald pulak! Saya bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru dalam merealisasikan impian Semua ‘A’ untuk subjek Biologi menjelang 2010 !
Biologi memerlukan pelajar yang rajin dan tekun. Faktor minat boleh membantu tetapi kerap kali keupayaan otak untuk menyimpan maklumat menjadi penghad. Melalui Big-Map diharapkan fenomena “auto-delete” dalam otak dapat diminimakan dan pada masa yang sama pelajar mempunyai sistem sokongan sebagai penyalur maklumat bagi menggantikan apa yang telah dan sedang dilupakan. Pelajar-pelajar secara praktikal akan membina jaringan maklumat iaitu fakta-fakta dan istilah penting biologi yang saling berkaitan dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila ia menjadi rutin dan terbimbing, pelajar akan menguasai konsep dan teori-teori biologi dalam skop yang lebih luas dan berkeupayaan mengekalkannya diingatan untuk diuji semasa peperiksaan kelak. Teringat sewaktu belajar dulu betapa hebatnya otak manusia, terlalu banyak fakta yang mengaitkan fungsi otak dan kepintaran manusia, semacam tiada batasan di mana semua maklumat boleh disimpan, difaham malah diramal. Malangnya kita memang tidak berkeupayaan mengingat semua perkara. Kenapalah mudah sangat lupa! Kalau dapat ‘save’ macam komputer tentu ‘best’. Saya masih berfikir bahawa mesti ada jalan untuk membantu pelajar. Kalaulah dapat dikaji bagaimana otak pelajar saya dapat memilih jawapan yang terbaik bagi setiap soalan peperiksaan dan pada masa yang sama otaknya juga mampu beroperasi seperti sebuah komputer bergerak alangkah hebatnya! Boleh dapat infomasi, ‘key-in’ terus dan yang lebih mahal boleh ‘save’. Akhirnya akan dapatkan ‘print-out’ pada hari peperiksaan SPM nanti. Memang hebat!
Dalam kajian yang dijalankan, saya telah cuba mengabungkan stail pengajaran-pembelajaran yang menggunakan pendekatan akses kendiri,di mana pelajar dibimbing mencari maklumat sebanyak mungkin untuk setiap topik daripada sumber-sumber berwibawa seperti guru, buku teks atau internet. Seperti komputer mereka menyediakan seberapa banyak option atau pilihan di mana option atau maklumat tadi akan menjadi sebahagian jawapan kepada soalan biologi dalam peperiksaan. Tetapi pengkaji berpendapat jika menggunakan cara berfikir seperti manusia biasa dengan mencari jawapan terbaik dari setiap maklumat yang tersimpan dalam mindanya ia akan menjadi lebih efisien. Big-Map menentukan pelajar mencari dan menyusun atur sebanyak mungkin maklumat dan memastikan ianya dikunci dengan cara yang sistematik iaitu gelungan fakta pada byte pertama sentiasa berkaitan dengan gelungan byte kedua, ketiga dan seterusnya. Pelajar pasti seronok apabila cara belajar, berfikir dan menerangkan sesuatu konsep disamakan dengan prinsip sebuah komputer dan dalam masa 3 bulan mereka telah mahir mengaitkan fakta, mencari semula ‘password’/kata kunci yang hilang dan sentiasa bersaing untuk menjadi komputer termaju dengan data penyimpanan byte tertinggi.
Saya menjadi semakin yakin bahawa cara pengajaran yang pelbagai boleh diaplikasikan kepada semua pelajar saya dengan syarat saya terus tekun, ikhlas dan menjadikan pelajar saya sebagai aset yang sangat penting. Saya mendampingi mereka dan mendengar dengan teliti masalah mereka semasa mengulangkaji pelajaran. Secara beransur, saya cuba mengumpul maklumat dan data bagi menjawab persoalan utama yang bermain difikiran saya iaitu mengapa keputusan peperiksaan SPM bagi subjek Biologi diperingkat sekolah dan daerah tidak ramai pelajar mendapat ‘A’ dan tidak setanding dengan rakan-rakan mereka yang berada disekolah berasrama penuh dan MRSM. Walhal pencapaian Sains mereka di peringkat PMR hampir sama dengan pelajar sains tulen yang kami miliki. Pasti ada sesuatu yang tidak kena! Saya telah menetapkan objektif kajian saya seperti berikut iaitu:
i. Objektif Umum : di mana pelajar-pelajar saya seharusnya dapat
• Meningkatkan keupayaan ‘mengingat’ kepada konsep-konsep biologi melalui kaedah Big-Map.
• Membina sistem sokongan melalui jaringan maklumat yang disusun secara gelungan ‘byte’ dalam komputer bagi meningkatkan keupayaan pelajar mengingat fakta.
• Meningkatkan minat dalam mata pelajaran Biologi melalui cara pembelajaran yang menggabungkan kemahiran berfikir manusia dengan ala prinsip pengoperasian dalam komputer.
• Mempelbagaikan kaedah pembelajaran dan meningkatkan keberkesanannya.
ii. Objektif khusus : dimana pelajar-pelajar saya seharusnya dapat
• Memberi maksud kepada istilah-istilah biologi dan menyusunnya mengikut topik
• Mengenalpasti kata-kunci yang menjadi asas kepada konsep yang hendak dibina
• Menghubungkaitkan fakta untuk memahami keseluruhan topik yang dipelajari
• Mengemaskini ‘Big-Map’ iaitu jaringan fakta yang ditulis mengikut susunan byte.
• Memproses ‘Big-Map’ yang telah dibina untuk menilai tahap pengembangan pengetahuan pelajar tersebut dalam topik-topik tertentu.
Saya mula di tempatkan di sekolah ini pada Julai 2003. Sekolah luar bandar tetapi mempunyai tradisi menarik dalam pencapaian sains dan matematik dalam peperiksaan awam. Peratusan pelajar Melayu, Cina dan India agak seimbang dan ini menerbitkan satu suasana persaingan yang sihat untuk berjaya di dalam pelajaran khususnya di kelas-kelas aliran sains. Saya menetapkan pencapaian Biologi SPM 2003 sebagai penanda aras baru dan bertekad untuk menerapkan konsep ‘kaizen’ di dalam rutin tugas saya. Sebagai Guru Cemerlang yang baru dilantik, mesti ada unsur penambahbaikan dalam semua aspek dan saya tidak berkompromi dalam soal ini. Pencapaian hanya 88% dalam SPM 2003, cukupkah pencapaian yang begini? Ada 43 calon Biologi SPM 2004 yang mesti digerakkan segera untuk mencapai visi 100%. Saya memulakannya dari hari pertama persekolahan 2004. Takwim persekolahan disusun dan dipamerkan untuk mengingatkan pelajar apa yang akan mereka hadapi sepanjang tahun 2004. Taklimat pengurusan bilik darjah, jadual kelas-kelas pengayaan dan pengukuhan serta huraian terperinci sukatan pelajaran biologi diberikan, ketika inilah konsep Big-Map saya perkenalkan lengkap dengan helaian-helaian sokongannya. Hati kecil saya sentiasa berkata, Insyallah berjaya….
Meneliti raut muka pelajar 4 Alfa sewaktu sesi P&P, tidak terdetik di hati saya yang mereka ini sukar memahami Biologi. Empat waktu seminggu yang diperuntukkan rasanya terlalu suntuk untuk terus berkonsep. Keyakinan terhadap mereka sentiasa kukuh iaitu semuanya akan berjaya dan semuanya akan cemerlang, tetapi hakikatnya tidak begitu, tebalnya nota, kemasnya laporan amali atau PEKA, seronoknya suasana P&P tidak menjamin mereka mendapat markah yang tinggi setiap kali ujian. Ujian Mac hanya seorang daripada 26 calon yang mendapat 1A manakala yang lain-lain sekadar lulus pada tahap memuaskan. Ini mengambarkan kegagalan proses P&P yang saya diamalkan. Ianya perlu berubah dan pelajar mesti digerakkan untuk mencuba cara pembelajaran yang pelbagai. Mereka mudah lupa! Itulah tanggapan awal saya secara peribadi. Topik 3 iaitu Pergerakan Merentasi Membran Plasma hanya mempunyai 13 halaman didalam buku teks tetapi ada 35 istilah yang perlu difahami dan dihuraikan. Terdayakah mereka untuk mengingati semuanya! Sesi perbincangan di dalam bilik darjah turut memasukkan unsur-unsur penglibatan pelajar secara aktif seperti berdiskusi, berbahas, berlakun dan sebagainya tetapi impak nya tidak pernah ketara. Walhasil balik asal! Markah ujian tetap menjadi indikator penting samada pelajar telah menguasai biologi atau tidak. Selaku pengkaji saya telah membuat perbandingan antara pencapaian pelajar dalam matapelajaran Biologi untuk 5 tahun terakhir dalam peperiksaan SPM dengan markah Ujian Bulanan Mac dan mendapati polanya tetap serupa iaitu hanya 5% yang mendapat 1A .
Program Big-Map secara resminya telah dilancarkan pada Mac 2004 dalam satu sesi penerangan dan motivasi. Latar belakang atau senario pencapaian pelajar dalam Biologi di peringkat SPM dan hasrat bersungguh-sungguh saya untuk mengubahnya saya terangkan dengan jelas kepada pelajar saya. Analisa Pra Ujian melalui Ujian Bulanan Mac memperlihatkan pola piawainya iaitu 5% A , 20% B, 45% C, 25% D dan 5 % 8E atau 9G. Pelajar di diberikan motivasi supaya berubah dan mencuba cara belajar yang bukan konvensional iaitu hanya baca, salin nota baca dan terus menyalin nota! Idea cara berfikir yang mengabungkan prinsip pengoperasian komputer dan cara berfikir yang bijaksana oleh akal manusia dikemukakan sebagai pilihan. Pelajar menunjukkan reaksi berminat walaupun agak ragu-ragu di peringkat awal kerana aplikasi Big-Map mesti menambahkan kerja rumah mereka.
Pada peringkat awal pelaksanaannya saya telah mengambil sikap berhati-hati dalam menentukan kejayaan program Big-Map ini. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk menggunakan kreativiti mereka dan saya mesti bersedia setiap masa untuk membimbing mereka mencari maklumat daripada buku teks yang dibacanya, talian telefon sentiasa terbuka dan saya turut mengulangkaji buku-buku rujukan Biologi untuk menjawab soalan-soalan spontan dan sedaya mungkin saya akan mengikuti progres pelajar-pelajar saya dalam mengaplikasi idea yang saya perkenalkan, semuanya mesti difailkan dengan sistematik dan saya ligat memikirkan bagaimana pelajar-pelajar ini boleh kekal bermotivasi sehingga SPM November nanti!
Perbincangan awal antara guru-pelajar adalah komponen penting untuk menentukan kejayaan program ini. Ianya mungkin berkisar kepada permasalahan pelajar sewaktu mereka mengulangkaji pelajaran di rumah. Maklumbalas daripada pelajar diperlukan khususnya keputusan peperiksaan semasa, cara mereka belajar dan bagaimana mereka mengulangkaji matapelajaran Biologi di rumah. Maklumbalas tentang tingkahlaku mereka boleh diperolehi daripada perbualan dengan rakan guru yang mengajar subjek lain di tingkatan ini. Hasil perbincangan yang dijalankan didapati kumpulan sasar ini amat berminat dalam matapelajaran ini atas alasan mereka ingin menjadi doktor dan biologi tidak perlukan pengiraan! Keyakinan untuk lulus cemerlang adalah tinggi tetapi mereka tidak mempunyai alternatif cara belajar yang diamalkannya sejak tingkatan satu iaitu baca, lukis dan hafal di mana perlu. Sebahagiannya berkemahiran dalam komputer dan berminat mengaplikasikannya jika diminta berbuat demikian tetapi biasalah, mana mungkin ada lap-top di rumah!.
Secara teori otak manusia begitu sempurna dan istimewa, ia bukan sekadar tempat menyimpan maklumat tetapi membolehkan manusia membuat jangkaan dan pilihan. Terdapat ruang-ruang kosong semulajadi didalam otak untuk menempatkan maklumat yang dibaca, dilukis dan dihafal oleh setiap pelajar bergantung kepada usaha mereka, ruang-ruang ini akan terus dipenuhi tetapi semakin lama ianya akan dikosongkan kerana maklumat lama akan diganti yang baru, ianya berterusan dan kemampuan otak pada hakikatnya adalah terhad, apa yang dibaca akan hanya diingat untuk satu tempuh masa yang singkat, mungkin setengah-setengah maklumat akan diingati dalam tempoh masa yang lama tetapi kebanyakannya akan dilupakan. Fenomena ‘Auto-delete’ inilah menjadi punca utama kegagalan pelajar untuk mengingat fakta. Mereka tidak boleh menyimpan maklumat atau data seperti dalam komputer malah tidak mungkin dapat memilih maklumat jika mereka terlupa. Komputer pula secara perbandingannya memberikan kita pilihan atau option jika kita ingin mendapatkan maklumat, kita boleh menyimpannya dan memilih hanya maklumat yang paling tepat bila saja kita memerlukannya. Big-Map cuba mengabungkan kedua-duanya iaitu pelajar menyusun maklumat atau fakta-fakta biologi dalam format seperti komputer dengan harapan jika seseorang pelajar itu membaca buku teks misalnya beliau ada cara yang sistematik untuk menyusun fakta tadi iaitu disusun mengikut gegelung ‘byte’ dan menguncinya menggunakan ‘password’. Atas prinsip ‘saya buat saya ingat’ pelajar secara tidak langsung akan mengaitkan tiap fakta, istilah atau konsep biologi dalam satu pemetaan yang besar. Pelajar akan mengisi byte pertama yang mewakili gelung pertama dengan 4 jajaran bertentangan kemudian berpindah kepada gelung byte kedua dengan melanjutkan penerangan dari byte pertama tadi dan seterusnya untuk byte berikutnya pada tahap kesukaran komputer 2 kuasa n ( 2n). Kesemua fakta, istilah dan konsep biologi tadi akan saling mengunci secara semulajadi dan pada tiap byte pelajar bolehlah mencari satu ‘password’ atau kata kunci yang menarik seperti konsep ‘pneumonic’ yang memudahkan pelajar memanggil kembali fakta yang terlupa jika perlu. Big-map boleh dibuat pada setiap akhir sesuatu topik. Keberkesanannya bergantung kepada usaha pelajar menyusun fakta dan menerangkan keseluruhan konsep dengan menyebut dan menerangkan kembali segala maklumat yang tertulis daripada byte pertama, kedua dan seterusnya. Akhirnya idea biologi secara keseluruhan bagi setiap topik akan mantap di ingatan.
Ujian pra telah diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan sejauhmana kefahaman dan kemampuan pelajar menguasai Topik 2 Biologi Tingkatan 4 iaitu Struktur sel dan Fungsinya, sebaik sahaja topik ini selesai diajar mengikut perancangan penggal dan harian yang telah disediakan. Setelah disemak dan dianalisis didapati mereka tidak mencapai wajaran yang ditetapkan iaitu bilangan yang lulus cemerlang A hendaklah mencapai sekurang-kurangnya 30% daripada 43 pelajar. Keputusannya hanya seorang atau 3.8% yang mendapat A manakala pola pencapaian keseluruhan seperti telah dijangka. Bagaimana untuk meningkatkan jumlah yang mendapat A? Pengkaji kemudiannya mengambil masa selama satu jam bersama pelajar 4 Alfa untuk menerangkan hasil ujian pra (Ujian Bulanan Mac) dan kaitannya dengan keputusan ujian-ujian lain yang bakal mereka lalui. Pelajar disaran untuk mempelbagaikan cara belajar dan mencadangkan kaedah Big-Map sebagai alternatif yang boleh dicuba. Pengkaji menunjukcara bagaimana mengisi ruang-ruang yang disediakan dan menerangkan bagaimana gelung byte boleh menjadi ‘interlock’ yang akan mengunci maklumat yang telah pelajar susun dalam Big-Map mereka. Satu pertandingan mini dilancarkan iaitu mana-mana pelajar yang berjaya mengisi maklumat dari tajuk 2 tanpa merujuk buku teks sehingga mencapai byte tertinggi akan menerima insentif.
Terdapat 10 topik yang mesti dipelajari sewaktu pelajar berada di Tingkatan 4. Bermula Bulan Mac sehingga Julai, saya telah berjaya menghabiskan sehingga topik 6, ini bermakna setiap pelajar 4 Alfa telah menyelesaikan enam kali tugasan membuat ‘Big-Map’. Saya sentiasa memastikan setiap helaian Big-Map dibuat sebaik setiap topik selesai dipelajari dan difailkan. Pelajar seterusnya mengikuti ujian bulanan April, Jun dan Julai manakala Peperiksaan Pertengahan Tahun dijalankan pada Mei. Untuk tujuan penilaian, analisis pencapaian individu telah dibuat untuk menilai sejauh mana pelajar telah memahami konsep-konsep Biologi yang dipelajari. Didapati terdapat perubahan beransur-ansur dari segi sikap dan minat pelajar manakala markah ujian yang diperolehi menunjukkan penguasaan pelajar didalam menyusun idea dan menerangkan sesuatu fakta atau fenomena di dalam setiap topik semakin meyakinkan.
Analisis tinjauan masalah telah saya laksanakan dan hasilnya membuat saya sedikit teruja, ada petanda positif untuk membolehkan saya berjaya. Hasil daripada perbincangan dengan guru-guru subjek yang lain terhadap kumpulan sasaran samada dalam bentuk formal atau tidak formal sebelum dan selepas kajian dijalankan didapati,
i. Kumpulan sasaran telah menunjukkan peningkatan minat untuk mempelajari biologi.
ii. Kaedah pengajaran guru menjadi lebih sistematik dan menyeronokkan. Ini memotivasikan mereka.
iii. Aktiviti ‘Big-Map’ berjaya mengujudkan daya saing dikalangan kumpulan sasaran.
iv. Keyakinan murid untuk menjawab soalan-soalan lisan semakin baik kerana mereka diberi peluang sama rata untuk mencuba ‘Big-Map’ mengikut kemampuan diri sendiri
Berdasarkan pemerhatian selepas kajian dijalankan terhadap kumpulan sasar untuk tempuh masa Mac hingga Julai 2004 didapati:
i. Pelajar telah mula memahami pentingnya untuk lulus dengan cemerlang dalam subjek biologi demi masa depan mereka
ii. Respon pelajar terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran bertambah baik di mana pelajar lebih berani berhujah atau memberi pendapat.
iii. Suasana pembelajaran didalam bilik darjah lebih memberangsangkan, mereka kelihatan lebih bersedia untuk belajar dan bersikap proaktif.
iv. Guru mengajar dengan lebih bersemangat kerana setiap aktiviti yang dirancang berjaya menarik minat pelajar dan wujud persaingan yang sihat di kalangan mereka untuk menjadi ‘komputer’ dengan ciri termaju dan sekaligus memenangi insentif daripada guru.
v. Walaupun mengeluh pada mulanya, pelajar semakin mahir untuk melengkapkan setiap gelung byte dan semakin yakin menghuraikan konsep biologi mengikut hierarki apabila memasuki tajuk 4, 5 dan 6
vi. Beberapa pelajar dilihat telah mencuba ‘Big-Map’ untuk subjek bukan biologi khususnya Sejarah dan Kimia..
Saya telah membuat keputusan bahawa Ujian Bulanan Mac diambilkira sebagai Ujian Pra atas dasar soalan-soalan yang dikemukakan adalah berbentuk topikal, walaupun ringkas ianya meliputi pengujian dalam beberapa bidang kemahiran. Masa diperuntukan adalah selama satu jam setengah dan pelajar dikehendaki menjawab soalan-soalan berbentuk objektif, struktur dan essei. Setiap skrip jawapan pelajar akan diperiksa mengikut skema pemarkahan yang biasa diamalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Saya seterusnya melakukan proses yang sama untuk ujian bulanan April, Mei dan Julai dan menganalisa markah-markah yang diperolehi oleh setiap pelajar 4 Alfa. Ini bertujuan menjadikannya sebagai ujian Post dan boleh dibuat perbandingan dengan markah bulan Mac yang dianggap Pra- Ujian tanpa mengabaikan kesahan dan kebolehpercayaannya. Saya juga memerhati dengan penuh minat perubahan-perubahan tingkahlaku setiap pelajar 4 Alfa sewaktu sesi P&P dan mencatat dalam diari harian dari semasa kesemasa. Pelajar semakin bagus dan nama mereka semakin dekat dihati! Analisa markah Pra dan Post ujian saya permudahkan sebagai berikut:

UJIAN PRA (%) GRED APRIL (%) MEI (%) JULAI (%)
1 (3.8) 1A 1 (3.8) 1 (3.8) 2 (7.7)
- 2A 1 (3.8) 3 (11.5) 3 (11.5)
3 (11.5) 3B 3 (11.5) 3 (11.5) 2 (7.7)
6 (23.1) 4B 4 (15.4) 4 (15.4) 5 (19.2)
4 (15.4) 5C 8 (30.8) 2 (7.7) 6 (23.1)
4 (15.4) 6C 6 (23.1) 6 (23.1) 4 (15.4)
2 (7.7) 7D 1 (3.8) 5 (19.2) 4 (15.4)
5 (19.2) 8E 2 (7.7) 2 (7.7) -
1 (3.8) 9G - - -
26 26 26 26
Ujian Post telah menunjukkan terdapat peningkatan dalam markah yang diperolehi untuk setiap topik yang telah diajar. Menjadi rutin kepada setiap pelajar 4 Alfa untuk memenuhkan helaian Big-Map yang dibekalkan pada waktu terakhir sebelum pulang kerumah dan akan dikutip semula sebelum bunyi loceng pertama keesokkan harinya untuk mengurangkan peluang mereka menyalin daripada rakan sekelas. Ujian bulanan yang sebentuk dengan Ujian Pra telah diadakan mengikut jadual yang ditetapkan dan dapatan kajian setelah pelajar melalui tiga ujian bulanan menunjukkan peningkatan yang agak ketara. Peningkatan markah yang berlaku setelah kaedah Big-Map diperkenalkan boleh dianggap sebagai hasil pembelajaran yang positif dan wajar diteruskan pelaksanaannya.
Dapatan kajian menunjukkan perbandingan pencapaian pelajar 4 Alfa di dalam ujian Pra dan Post yang dijalankan sebelum dan selepas kaedah Big-Map dilaksanakan telah menunjukan perubahan yang ketara. Gred yang diperolehi menunjukkan tahap penguasaan pelajar dalam sesuatu topik semakin meyakinkan. Walaupun faktor penyebab tidak mungkin dapat ditentukan dengan tepat, kaedah P&P yang agak berbeza ini boleh dianggap antara penyumbang yang berkesan.
Tindakan yang dijalankan untuk membantu pelajar-pelajar 4 Alfa menguasai setiap fakta atau konsep-konsep biologi adalah dengan membimbing mereka mengumpul maklumat secara sistematik dan secara sedar menyimpan dengan tertib diingatan. Fungsi otak manusia terlalu komplek manakala peranan minda manusia begitu subjektif, tetapi jika pelajar boleh memfokaskan kaedah belajar yang agak masteri ini iaitu setelah selesai satu sessi P&P, pelajar akan menyemak dan memahami konsep yang dipelajari melalui pembacaan dari buku teks kemudian menulis kembali fakta-fakta penting tadi dalam satu bentuk susunan yang mencapah ilmunya dan saling berkait antara satu sama lain pengkaji berpendapat jika pelajar telah membuat dan menghayati ‘Big-Map’nya. Ia akan melihat satu idea keseluruhan dari satu topik biologi dan jika dibuat berulangkali pelajar itu boleh memerihalkan semula topik tadi mengikut hierarki pengetahuan Benjamin Bloom iaitu dari tahap mudah ke sukar dan sebaliknya.
Pada peringkat awal saya telah menyediakan helaian Big-Map kepada setiap pelajar dan memproses helaian ini secepat mungkin supaya pelajar mendapat respon segera setiap hasil kerja mereka. Walau bagaimanapun pelajar boleh menambah ruangan pada byte berikut nya jika terdapat banyak fakta yang boleh dimasukkan. Kata kunci atau password yang menjadi penghubung setiap gelung byte mestilah satu perkataan ringkas dan mudah diingati pelajar, sebaiknya ia mempunyai kaitan dengan sesuatu peristiwa yang berkaitan dengan topik tersebut atau mempunyai makna yang yang berkait dengan kehidupan harian pelajar tersebut. Kemahiran memenuhkan ruang-ruang dalam Big-Map boleh diperolehi dengan mudah jika pelajar bersedia untuk melakukannya bersama rakan dan mengulangnya beberapa kali untuk setiap topik. Ingatan memang sukar dikekalkan tetapi pengkaji optimis jika pelajar tersebut berjaya menyediakan maklumat–maklumat yang bakal mengantikan mana-mana yang terlupa pelajar masih ada peluang untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Dalam setiap peringkat pelaksanaannya analisis secara kualitatif telah dibuat melalui pencerapan tingkahlaku pembelajaran pelajar. Semua faktor diambilkira sebelum kaedah Big-Map ini diperkenalkan. Latarbelakang keluarga pelajar, penguasaan dalam Bahasa Melayu dan kemahiran komputer dianggap mempunyai pengaruh yang relevan. Keluarga yang mementingkan kualiti pendidikan akan memastikan anak-anak mereka sentiasa bermotivasi dan mempunyai sikap yang betul didalam pelajaran. Penguasaan Bahasa Melayu yang lemah mungkin menjadi penghalang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan mencari perkataan yang tepat untuk memenuhkan ruang-ruang Big-Map.
Komputer masa kini adalah ikon kepada pendidikan global, pelajar yang mempunyai kemahiran dalam penggunaan komputar akan sedar apa yang boleh dimenafaatkan daripada teknologi ini. Komputer menyediakan ‘option’ atau seberapa banyak pilihan kepada penggunanya untuk memilih mana-mana maklumat yang dikehendaki kerana perisian yang dimilikinya tetapi seseorang pelajar itu perlulah menggunakan kebijaksanaannya untuk memilih maklumat yang tepat.

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa Kaedah Big-Map memang berupaya meningkatkan keupayaan mengingat pelajar. Dalam proses pengisiannya, pelajar akan melalui pengalaman baru dalam pembelajaran iaitu dengan secara terancang mereka menyusun maklumat dari setiap sesi P&P dan mesti menggunakan buku teks sepenuhnya dalam usaha mengembangkan sesuatu konsep biologi mengikut hierarki dan aras kesukaran. Data ujian Pra dan Post telah menunjukkan perubahan secara beransur kearah positif dan tingkahlaku pembelajaran pelajar dapat dikesan semakin memberangsangkan. Peningkatan ini wajar dipelihara dan pengkaji berpendapat Big-Map memang boleh dijayakan bukan sahaja untuk biologi malahan untuk subjek-subjek yang lain.
Satu rumusan boleh dibuat setelah analisis Ujian Pra dan Post dilaksanakan. Didapati terdapat peningkatan ketara bagi pencapaian pelajar tingkatan 4 Alfa dalam mata pelajaran Biologi. Sekiranya pelunjuran dibuat terhadap data tersebut adalah dijangkakan pengkaji boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30% daripada mereka akan mencapai keputusan cemerlang A dalam Biologi SPM tahun 2004 dan 2005 kelak. Kaedah Big-Map yang telah dilaksanakan perlu diteruskan dan pelajar sentiasa dibimbing untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat dengan mengisi ruang-ruang byte. Helaian Big-Map yang diproses perlu dipamerkan dipapan kenyataan kelas dan komen-komen membina adalah penting diberikan untuk tujuan memotivasikan pelajar. Insentif bolehlah diberikan kepada mana-mana pelajar yang telah menunjukkan daya usaha untuk mencapai byte tertinggi sambil ujian berbentuk kuiz diadakan dari semasa kesemasa agar pelajar boleh mengabungkan semua idea dari gelung-gelung byte dan menerangkan secara lisan idea keseluruhan setiap topik biologi yang telah dipelajari. Ingatan pelajar akan lebih mantap terhadap sesuatu istilah atau fakta-fakta sekiranya mereka mempunyai rutin untuk memenuhkan Big-Map kerana otak akan terus bermaklumat jika ianya sentiasa diisi dan pastinya akan kekal lebih lama jika pelajar mendisiplinkan diri untuk membuatnya berulangkali. Walau bagaimanapun peruntukan masa yang lebih lama perlu diberikan kepada kumpulan sasaran ini agar mereka benar-benar menguasai kaedah Big-Map ini. Bimbingan berterusan dari guru amat penting agar pelajar selesa memahami konsep-konsep biologi dan mampu menyusun maklumat di dalam Big-Map mengikut kemampuan pelajar itu sendiri.
Kajian yang saya dijalankan adalah bertujuan untuk melihat sejauhmana Kaedah Big-Map dapat meningkatkan keupayaan otak pelajar untuk mengingat sesuatu matapelajaran yang terlalu bermaklumat, Teori pembelajaran Masteri adalah selari dengan kehendak Big-Map kerana pelajar perlu mentelaah buku teks, memahami idea sesuatu konsep dan menyusun mengikut hierarki atau aras kesukaran dihelaian Big-Map. Ianya bukanlah satu peta konsep yang biasa sebaliknya secara tersirat mengisi ruang kosong didalam otak. Lebih banyak maklumat diisi bermakna lebih banyak pilihan yang dimiliki oleh seseorang pelajar untuk menjawab soalan-soalan biologi dalam peperiksaan kelak. Mengambilkira latar belakang akademik pelajar Aliran Sains Tulen, adalah dijangka konsep Big-Map boleh memberi impak yang positif.
Adalah dicadangkan juga agar guru-guru dari subjek yang lain dapat diperkenalkan kepada konsep Big-Map ini dan penggunaannya masih boleh diubahsuai mengikut tahap kecerdasan murid atau kekreatifan guru dalam melaksanakannya. Data dan maklumat klinikal mungkin dapat menjelaskan keunikan otak manusia dan perlulah ada kajian lanjut yang boleh mengaitkan perisian komputer dengan minda pelajar kerana untuk menentukan kejayaan pelajar didalam peperiksaan kita mesti ada cara yang pelbagai dan meruntun minat pelajar kearahnya!
Kini selepas tiga tahun, saya dapat melihat hasil usaha yang dirancang dan dilaksanakan telah menepati sasarannya, keputusan SPM 2004 dan SPM 2005 ditunggu dengan penuh minat dan debaran, ternyata segala usaha tidak sia-sia 100 % kelulusan untuk 43 calon pada 2004 dan 26 calon 2005 manakala pencapaian individu mengikut gred amat memuaskan jika diambilkira latar belakang murid dan sekolah. Saya berjaya membuktikan setakat ini bahawa pola bilangan pelajar yang mendapat gred cemerlang, sederhana dan lemah sebenarnya bukan kekal dan tidak boleh diubah. Pencapaian SPM terakhir iaitu 2005 menunjukkan tiada lagi calon yang memperolehi 8E malah saya benar-benar yakin untuk SPM 2006 jika tiada masalah luar jangka pelajar-pelajar saya mampu mendapat sekurang-kurangnya gred C6 dalam Biologi, biarlah kelulusan kurang 100% menjadi sejarah dan pelajar SMKJ bakal menyaingi sekolah berasrama penuh dalam masa terdekat ini, Insaallah! Walaupun usia menjadi seorang guru telah melangkaui 23 tahun dengan deretan pengalaman suka duka dibilik darjah, saya dapat merasakan usaha-usaha tiga tahun kebelakangan ini amat menyeronokkan. Mengambilkira ciri-ciri inovasi dalam Big-Map dan terdapat ruang untuk memperbaikinya pada masa depan, saya berpeluang meningkatkan pencapaian akademik pelajar saya secara total. Sebagai seorang guru cemerlang biologi saya bertekad untuk terus mengamalkan budaya refleksi dalam proses pembelajaran dan pengajaran saya. Beberapa tajuk kajian tindakan sedang dan akan saya jalankan demi memperbaiki pelbagai aspek P&P di bilik darjah. Saya juga telah menetapkan sasaran untuk membina modul P&P mengikut topik biologi untuk semua topik tingkatan empat dan lima tetapi selari dengan keperluan Big-Map. Mungkin kaedah pengurusan grafik boleh digabungjalinkan penggunaannya bersama kecanggihan komputer dan kebijaksanaan akal manusia, Siapa tahu ia mungkin boleh direalisasikan satu hari nanti.